fb fb fb fb fb

Teknologi gigi palsu 3D, bantu mudahkan urusan pesakit - KKM

KLANG, 4 Oktober- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses pelaksanaan 'Proof of Concept' bagi Projek Rintis Penghasilan Gigi Palsu menggunakan teknologi 3D.

Dua fasiliti kesihatan pergigian terlibat iaitu Klinik Pergigian Bandar Botanik, Klang, Selangor dan Klinik Pergigian Kuala Lumpur.

Menurut Menterinya, Khairy Jamaluddin, menerusi projek rintis ini, penghasilan gigi palsu dijangka dapat ditingkatkan dari purata 90 unit kepada 300 unit sebulan bagi setiap klinik pergigian yang dilengkapi dengan teknologi 3D ini.

"Saya kagum dengan projek ini kerana kebiasaannya tempoh menunggu gigi palsu adalah lama, melebihi masa dua bulan ke tiga bulan tetapi dengan sistem pencetakan ataupun teknologi 3D ini, ia boleh siap dalam tempoh masa tiga jam sahaja," kata Khairy kepada RTM selepas melawat Klinik Pergigian Bandar Botanik, Klang, hari ini.

Tambahnya, kekerapan lawatan pesakit bagi pembuatan gigi palsu turut dapat dikurangkan kepada dua kali lawatan berbanding lima kali lawatan sebelum ini.


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin)

Projek yang pertama kali dijalankan di peringkat KKM ini bermula 15 Ogos lalu dan akan dilaksanakan selama tiga bulan sehingga 15 November ini.

KKM telah menandatangani Nota Persefahaman bersama dua buah syarikat swasta yang menggunakan teknologi 3D dalam penghasilan gigi palsu pada 15 Ogos lalu dalam pelaksanaan projek ini.

Pada tahun 2020, 44 peratus pesakit warga emas yang datang ke fasiliti KKM memperoleh gigi palsu dalam tempoh melebihi dua bulan.

Sehingga kini, sebanyak 531 buah makmal pergigian KKM masih menghasilkan gigi palsu secara konvensional kepada rakyat.

Media Baharu