KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) optimis dapat mendekati pelbagai lapisan masyarakat menerusi Program Pentarama Merdeka @ HOHO yang berlangsung di tiga lokasi berbeza minggu ini.
Program berkenaan dimulakan di Plaza Sungei Wang, Bukit Bintang, diikuti Berjaya Times Square, sebelum berakhir di Pusat Beli-belah Pavilion Bukit Bintang.
Acara yang berlangsung meriah itu menampilkan persembahan nyanyian lagu patriotik dan tarian pelbagai kaum oleh artis Pentarama JAPEN.
Program yang diberi nafas baharu ini bukan sekadar menghiburkan, malah turut menyelitkan elemen pendidikan dan kesedaran nasional melalui kuiz kenegaraan.
JAPEN turut melaksanakan penambahbaikan menyeluruh terhadap pengisian program yang diadakan setiap Sabtu sepanjang bulan Ogos ini bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025.
Penganjuran program itu melibatkan kerjasama strategik dengan Elang Wah Sdn. Bhd., pengendali perkhidmatan pelancongan ikonik KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO).
Tinjauan RTM di lokasi mendapati orang ramai, termasuk pelancong luar negara, teruja mengikuti persembahan sambil merakam foto dan video menggunakan telefon pintar.