fb fb fb fb fb

Dapur Siswa wajar diperluas ke universiti swasta

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bercakap pada Program In Person With Doc ZAM sempena Semarak Kampus MADANI di Universiti Sultan Zainal Abidin / Foto BERNAMA

KUALA NERUS, 10 Ogos – Inisiatif Dapur Siswa yang dilaksanakan di universiti awam wajar diperluas ke universiti swasta bagi memastikan tiada pelajar kelaparan atau tercicir pengajian akibat tekanan kos sara hidup.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, langkah itu dapat meringankan beban kewangan mahasiswa, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian.

Beliau berkata, kenaikan kos sara hidup merangkumi sewa rumah, pengangkutan, dan harga makanan turut menjejaskan pelajar, termasuk penuntut luar negara di universiti swasta.

“Saya telah tekankan kepada semua mahasiswa dan semua Naib Canselor, maklumkan kepada kita. Jangan membiarkan mereka yang mempunyai kesulitan kewangan sehingga terpaksa berhenti belajar.

Kita tidak dapat terima jika perkara itu berlaku. Kita akan membantu mereka melalui Yayasan Perkasa Siswa,” katanya pada sidang media di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini.

Menerusi Dapur Siswa, seramai 300 penuntut di universiti berkenaan menerima manfaat makanan percuma setiap hari, terutama mereka daripada keluarga berpendapatan rendah.

Dapur Siswa adalah sebahagian daripada inisiatif Semarak Kampus Madani yang dilaksanakan di seluruh kampus untuk mendekati mahasiswa.

Ia juga menjadi platform mendengar pandangan mereka secara terbuka bagi membolehkan tindakan segera diambil.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN