fb fb fb fb fb

104 kenderaan mewah disita dalam Op Luxury 3.0

Antara kenderaan mewah yang disita dalam Op Luxury 3.0

KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Sebanyak 104 kenderaan mewah pelbagai jenama dipandu warga tempatan dan asing disita dalam Op Luxury 3.0 yang dilaksanakan di seluruh negara bermula 7 Ogos hingga semalam.

Pengarah Kanan Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, jumlah itu menjadikan keseluruhan kenderaan yang disita sepanjang tiga siri operasi berkenaan meningkat kepada 258 unit.

Antara kesalahan direkodkan ialah tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM), tiada perlindungan insurans, lesen memandu tamat tempoh, dan tiada lesen memandu yang sah.

“Sebanyak 627 notis saman dikeluarkan kepada pemandu warga tempatan dan asing yang memandu kereta mewah terbabit.

Kesemua kenderaan kini ditahan di depoh simpanan JPJ untuk siasatan dan disita mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333),” katanya pada sidang media Op Luxury 3.0 di sini.

Beliau berkata, beberapa kenderaan telah diserahkan semula kepada pemilik selepas mereka memperbaharui LKM dan insurans.

Bagaimanapun, penahanan 12 pemandu warga asing sepanjang dua hari operasi menimbulkan kebimbangan kerana mereka memandu tanpa mematuhi peraturan jalan raya dan memalsukan dokumen rasmi seperti lesen memandu serta Permit Memandu Antarabangsa (IDP).

“Majoriti pemandu warga asing yang ditahan berasal dari Asia Selatan. Kita pun agak hairan bagaimana mereka boleh menggunakan kenderaan berharga lebih RM500,000.

Pihak JPJ memandang serius perkara ini dan siasatan terperinci akan dilakukan segera. Kita merasakan warganegara asing terbabit sewenang-wenangnya mencabar undang-undang Malaysia,” katanya.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN