fb fb fb fb fb

OUM pelopor pembelajaran fleksibel, buka peluang pendidikan tanpa batas

Datuk Seri Dr. Wan Azizah (tengah) menghadiri Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-25 OUM di sini, malam tadi / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 Ogos – Open University Malaysia (OUM) mengukuhkan reputasi dengan memperjuangkan pembelajaran fleksibel, membolehkan rakyat menimba ilmu tanpa terikat ruang dan masa.

Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, model berkenaan memberi peluang kepada sesiapa sahaja untuk belajar di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Jelas beliau, inisiatif itu berbeza dengan kaedah tradisional yang hanya berpusat di bilik kuliah.

“Walaupun banyak institusi memberi tumpuan kepada laluan tradisional sepenuh masa, OUM telah mempelopori idea bahawa pembelajaran boleh berlaku di luar bilik kuliah, ketika berada di dalam kereta api, di antara waktu rehat makan tengah hari, selepas tamat syif kerja atau selepas menidurkan anak-anak.

Fleksibiliti ini menyokong visi negara untuk memperluas akses kepada pendidikan dan membina masyarakat yang menghargai pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kemajuan teknologi yang pesat membuka peluang besar untuk pendidikan fleksibel, namun turut membawa risiko yang perlu diurus dengan bijak.

Datuk Seri Dr. Wan Azizah berucap pada Majlis Makan Malam Gala Ulang Tahun ke-25 OUM di sini, malam tadi.

Turut hadir, Pro-Canselor OUM, Tan Sri Azman Hashim serta Presiden dan Naib Canselor OUM, Profesor Dr. Ahmad Izanee Awang.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN