SHAH ALAM, 10 Ogos – Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melancarkan Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS).
Pelancaran itu menjadikan YANIS sebagai agensi pelaksana utama dalam memperkukuh pembangunan Orang Kurang Upaya (OKU) secara holistik di Selangor.
Menurut Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, penubuhan YANIS akan memperluas peluang penajaan dan sumbangan daripada pelbagai pihak.
Ia sekali gus, membantu lebih ramai penerima termasuk OKU fizikal melalui penyediaan peralatan, latihan dan sokongan hidup berdikari.
“Peluang penajaan dan sumbangan dapat diperluas, program sedia ada dapat diteruskan, malah bantuan dapat meliputi golongan yang memerlukan peralatan, latihan dan sokongan hidup berdikari, bukan hanya intervensi untuk kanak-kanak istimewa seperti autism dan ADHD,” katanya.
Bagi merealisasikan matlamat jangka panjang, Tengku Permaisuri Norashikin turut berkenan menjadi Penaung Diraja YANIS, memperlihatkan komitmen dan sokongan terhadap usaha memperkasa komuniti OKU di negeri tersebut.
Pada majlis sama, baginda menyaksikan penyerahan cek cura sumbangan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) sebanyak RM1 juta kepada YANIS.
YANIS, anak syarikat MBI, ditubuhkan bagi meningkatkan aksesibiliti inklusif OKU, menggalakkan kerjasama komuniti serta menjadi perintis amalan terbaik dalam pengurusan intervensi kanak-kanak istimewa.
Sebelum ini, inisiatif bantuan tertumpu bawah program Anak Istimewa Selangor (ANIS) kepada OKU berusia bawah 18 tahun, dengan geran kerajaan sekitar RM5 juta setahun khusus untuk program bantuan khas dan pusat ANIS.
Anfaal berkata, proses permohonan bantuan khas yang dilaksanakan sejak 2020 akan diteruskan setiap tahun pada bulan Mac.
Melalui penambahan dana baharu, jumlah bantuan kepada OKU dijangka dapat ditingkatkan.