fb fb fb fb fb

Imigresen nafi individu bergelar 'Datuk' dilantik urus PLKS

Datuk Zakaria Shaaban, Ketua Pengarah Imigresen

PUTRAJAYA, 9 Ogos – Semua urusan imigresen hanya boleh dilakukan melalui saluran rasmi di kaunter Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) atau portal rasmi.

Jelas Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, tiada pegawai atau pihak ketiga dibenarkan menguruskan permohonan di luar prosedur.

Beliau membuat penegasan itu susulan video tular sejak 7 Ogos memaparkan pasangan suami isteri mendakwa membayar RM5,000 kepada seorang individu bergelar “Datuk” untuk menguruskan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi membebaskan adik mereka yang ditahan di Depot Imigresen.

“Hasil semakan lanjut mendapati pas digital tersebut disyaki palsu kerana kod QR telah diubah suai.

Manakala semakan nombor pasport melalui sistem MyIMMs menunjukkan tiada rekod PLKS,” katanya dalam kenyataan.

Beliau menegaskan JIM memandang serius cubaan memperdayakan orang awam.

Malah, tiada kompromi terhadap mana-mana pihak yang mencemarkan nama baik jabatan.

Datuk Zakaria turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat atau menjadi mangsa penipuan supaya membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

FARIS IZZAT SHAHARUDIN