KOTA KINABALU, 9 Ogos – Jenazah Zara Qairina Mahathir tiba di Hospital Queen Elizabeth I kira-kira pukul 10.30 malam bagi membolehkan proses bedah siasat dijalankan.
Menurut peguam keluarga, Hamid Ismail, bedah siasat dijadualkan bermula pukul 9 pagi esok.
Terdahulu, proses gali semula kubur pelajar tingkatan satu itu di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang selesai kira-kira pukul 7.15 malam.
Proses itu dimulakan pada 5.30 petang dengan bacaan doa setelah pasukan forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkaitan tiba pada pukul 4.56 petang.
Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar; Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka; serta peguam keluarga turut hadir menyaksikan proses berkenaan.
Pada Jumaat, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa mayat Zara Qairina perlu digali semula bagi membolehkan prosedur bedah siasat dijalankan.
AGC berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk siasatan lanjut diambil oleh PDRM demi memastikan ia dilaksanakan dengan menyeluruh.
Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai lepas setelah ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 4 pagi, 16 Julai.