fb fb fb fb fb

MTHQA ke-65: PM terima naskah al-Quran daripada Imam Masjid Nabawi

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima mushaf Al-Quran daripada Imam Masjid Nabawi Sheikh Dr Salah Muhammad al-Budair pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-65 Tahun 1447/2025M di WTCKL/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima senaskah al-Quran daripada Imam Masjid al-Nabawi, Madinah, Sheikh Dr Salah Muhammad Al-Budair, pada Majlis Penutupan Tilawah dan Hafazan al-Quran Antarabangsa (MTHQA) ke-65 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Beliau menghadiri majlis itu bagi menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi kategori qari, qariah serta hafazan lelaki dan wanita.

Qari dan qariah Malaysia dinobat sebagai johan Tilawah al-Quran bagi kategori masing-masing yang diwakili oleh Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan dan Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi.

Aiman Ridhwan Mohamad Ramlan memperoleh markah 97.01 peratus mengatasi peserta Indonesia Ahmad Azroi Hasibuan (95.13 peratus) serta wakil Turkiye Muhammed Yahya Yildizhan (93.88 peratus), yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga.

Manakala, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi memperoleh markah sebanyak 95.88 peratus mengatasi peserta Maghribi Fatima Zahra Assafar (89.38 peratus) dan wakil Indonesia Nur Rahmiyatin Adhya (87.59 peratus).

Sementara itu, bagi kategori hafazan wanita, wakil Malaysia, Putri Auni Khadijah Mohd Hanif, memperoleh tempat kedua dengan markah 96.75 mata. Peserta Syria Tasneem Arian Omar muncul johan bagi kategori tersebut dengan markah 97.5 peratus.

Untuk kategori hafazan lelaki, Usamah Barghouth dari Jerman muncul juara dengan markah 98.25 peratus diikuti Mohammad Abdullah Masasati dari Syria (98.01 peratus) dan tempat ketiga Mohammad Jamil Farhat dari India (97.25 peratus).

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali ke-65 itu berlangsung pada 2 hingga 9 Ogos dengan melibatkan 71 peserta dari 49 negara. 

ROSLINA BINTI DIN