PUTRAJAYA, 18 Januari - Teguran Laporan Ketua Audit Negara 2021 berhubung soal perbelanjaan, ketirisan yang tidak menepati syarat serta peraturan perlu diambil serius dan diteliti oleh jemaah menteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata mesyuarat Kabinet hari ini telah meneliti laporan tersebut namun memilih tidak mengumumkannya untuk memberi ruang kepada badan-badan di bawah kementerian untuk menjawab.
"Untuk kali ini, saya minta supaya jemaah menteri melihat secara serius teguran-teguran ini supaya tidak berulang kerana laporan Ketua Audit Negara memberikan syor-syor tetapi kesilapan atau keterlanjuran yang sama itu diteruskan tahun demi tahun," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet, di sini.
Tambah Anwar, Jabatan Audit Negara akan mengumumkan laporan itu pada waktu yang sesuai dan dibentangkan dalam sidang Parlimen akan datang.
Katanya, laporan itu penting kerana mengesan kesilapan yang sama seperti kurang pengawasan, membiarkan ketirisan dan menyerahkan kepada syarikat-syarikat yang tidak mengikut peraturan.