(Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, selaku
Orang Kena Saman(OKS)membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya
dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim/BERNAMA)
KUALA LUMPUR, 18 Januari- Pelakon Sharnaaz Ahmad didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan di sebuah kondominium, tahun lalu.
Dia bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27.
Kesalahan didakwa dilakukan di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.
Pendakwaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal menawarkan jaminan RM5,000.
Manakala peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat yang mewakili Sharnaaz memohon jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan polis dijalankan.
Abu Bakar juga memberitahu mahkamah, anak guamnya itu sedang menjalani penggambaran filem ‘The Original Gangster', dan tiada risiko melarikan diri.
Mahkamah membenarkan Sharnaaz diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.
(Pelakon popular, Sharnaaz Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret
di sini hari ini ataspertuduhan mencederakan seorang pengawal keselamatan
di sebuahkondominium,tahun lepas/BERNAMA)
6 Mac ditetapkan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
Pada 16 Jun tahun lalu, Sharnaaz ditahan selepas didakwa menumbuk dan menendang seorang penghuni di sebuah kondominium di Segambut, di sini.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, dilaporkan berkata kejadian bermula apabila mangsa yang juga pengawal keselamatan di tempat lain meminta rakannya membeli minyak masak.
Bagaimanapun, rakannya itu tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan kondominium terbabit menyebabkan berlaku pertengkaran antara mangsa dengan pengawal keselamatan itu.
Pelakon terbabit yang melihat insiden datang menegur mereka sebelum mangsa didakwa ditumbuk olehnya hingga lebam pada muka.