fb fb fb fb fb

Teguh sokong Palestin, Malaysia bakal pengerusi bersama CEAPAD IV

FOTO BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Julai - Malaysia terus teguh mendukung perjuangan rakyat Palestin termasuk memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan serta pembinaan semula Gaza.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, perkara tersebut antara intipati perbincangannya bersama Menteri Perancangan dan Kerjasama Palestin, Dr Estephan Salameh dan wakil Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Natalie Boucly di Pejabat Perdana Menteri hari ini.

"Saya menyambut baik kesediaan Jepun dan Palestin untuk bersama Malaysia menjadi pengerusi bersama Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) IV, yakni satu platform kerjasama serantau penting yang akan dirumus menerusi Pelan Tindakan Kuala Lumpur tidak lama lagi.

"Tumpuan kita jelas bahawa respon kemanusiaan yang menyeluruh, pemulihan awal, pembangunan ekonomi serta pembinaan keupayaan," jelas Datuk Seri Anwar menerusi satu kenyataan.

Dr Estephan dan Natalie mengadakan kunjungan hormat terhadap Datuk Seri Anwar bersempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM Ke-58).

Dalam perbincangan sama, kedua-dua pemimpin turut bertekad menyelaras usaha bersama dalam merealisasikan pelan pembinaan semula Gaza anjuran Mesir.

"Kita juga tekad menyelaras usaha bersama pelan pembinaan semula Gaza anjuran Mesir yang telahpun mendapat dukungan Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC)," katanya lagi.

Dalam pada itu, Malaysia-Palestin menegaskan tindakan barbarik rejim Israel mengharamkan UNRWA merupakan serangan terbuka terhadap Pertubuhan Bangsa Bersatu dan ia seharusnya dikecam sekeras-kerasnya.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE