KUALA LUMPUR, 11 Julai – Negara kini berada di landasan tepat untuk membawa perubahan besar, bukan sahaja dalam struktur serantau, tetapi juga daripada sudut geopolitik dan ekonomi global sempena dengan Kepengerusian ASEAN 2025.
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub, berkata pendekatan dasar Malaysia, khususnya melalui Model MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah membuka ruang kepada satu era baharu dalam hubungan serantau ASEAN.
"Kita mempunyai dasar yang begitu kuat dan ia menjadi tapak serta asas kukuh untuk memperkukuhkan dimensi politik ASEAN," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini hari ini.
Menurut Dr. Tawfik, Model MADANI bukan sekadar dasar domestik, tetapi telah diangkat sebagai model keterangkuman dan kolaborasi serantau yang berpotensi menyatukan negara-negara anggota dalam semangat kebersamaan.
“Kita tidak pernah melihat ASEAN bersatu dalam semangat kegiatan seperti hari ini. Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN, menjadi titik perubahan penting, bukan sahaja dalam sektor sosial tetapi juga dalam kebangkitan ekonomi rantau ini," katanya.
Beliau juga menekankan kejayaan Malaysia dalam tempoh enam bulan awal mempengerusikan ASEAN, dengan penganjuran pelbagai sidang kemuncak dan kerjasama strategik bersama negara-negara seperti Kanada, Korea, dan New Zealand.
"Ini bukan sekadar kejayaan logistik tetapi satu pencapaian luar biasa yang membuktikan keupayaan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN yang cemerlang," ujar beliau.
Sementara itu, Perunding Strategi dan Penganalisis Politik, Mohd Shafiq Sahruddin berkata beliau melihat tahun 2025 sebagai peluang emas bagi Malaysia untuk membina jaringan diplomatik yang lebih luas di peringkat global.
"Malaysia harus menjadikan peluang sebagai Pengerusi ASEAN sebagai batu loncatan untuk mewujudkan hubungan diplomatik yang kukuh di luar rantau ini," katanya ketika menjadi tetamu dalam rancangan terbitan RTM di sini hari ini.
Menurut beliau, kebergantungan berlebihan terhadap negara jiran dalam sektor pertanian seperti beras dari Thailand, harus dikurangkan dengan memanfaatkan sumber dalaman negara.
“Kita harus memperkuat sektor pertanian domestik dengan teknologi moden, mengintegrasikan amalan mampan, dan mengurangkan kebergantungan terhadap import,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Malaysia memiliki potensi besar dalam sektor seperti semikonduktor, kelapa sawit dan getah; aset yang boleh diposisikan untuk memacu pertumbuhan ekonomi negara dan ASEAN secara keseluruhan.