PUTRAJAYA, 11 Julai – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, proses pelantikan kehakiman seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan perlu dihormati semua pihak dan tidak wajar dipertikaikan.
Ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan berkaitan isu kehakiman yang dijadualkan berlangsung Isnin ini, beliau menekankan, pelaksanaan proses tersebut adalah berdasarkan peruntukan sedia ada dalam sistem perundangan negara.
“Itu keputusan mereka. Tapi kita telah jelaskan – Peguam Negara telah jelaskan, Menteri Undang-Undang Azalina bagi pihak Kabinet pun telah jelaskan, malah Yang di-Pertuan Agong juga telah memberikan penjelasan.
"Jadi kita ikutlah proses dan peruntukan Perlembagaan yang ada. Kalau rasa nak pinda, buat cadangan pindaan Perlembagaan. Tapi bidang ini kita ikut proses sedia ada yang telah diamalkan selama ini,” katanya.
Tambah beliau, sebarang hasrat untuk mengubah mekanisme pelantikan kehakiman mestilah dibuat secara sah melalui pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Datuk Seri Anwar turut menegaskan beliau tidak pernah mencampuri urusan atau keputusan mahkamah sejak dilantik sebagai Perdana Menteri.
“Seperti yang saya sebut sebelum ini, lebih dua setengah tahun saya tidak pernah campur dalam urusan keputusan mahkamah. Apa yang penting ialah proses yang digariskan dalam Perlembagaan serta bidang kuasa masing-masing perlu dihormati,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menunaikan solat Jumaat bersama lebih 500 jemaah di Surau Ar-Rahim, Presint 9, Putrajaya.
Terdahulu, Majlis Peguam dilaporkan akan menganjurkan perarakan aman pada 14 Julai ini dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri bagi menyerahkan satu memorandum penting yang menuntut tindakan segera mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.