fb fb fb fb fb

Kebakaran: SMAP Kajang terima bantuan RM100,000

Datuk Dr. Mohd Na’im meninjau lokasi kebakaran di SMAP Kajang. - Foto Bernama

KAJANG, 11 Julai - Sekolah Menengah Agama Persekutuan (SMAP) Kajang menerima sumbangan segera berjumlah RM100,000 susulan insiden kebakaran yang memusnahkan sebuah bilik pejabat di bangunan sekolah berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, bantuan itu bertujuan membantu kerja-kerja baik pulih serta menampung keperluan kecemasan agar proses pengajaran dan pembelajaran dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Alhamdulillah, tiada kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan. Ini satu kelegaan besar buat kita semua. Insya-Allah, sumbangan ini akan membantu pihak sekolah menyambung semula operasi seperti biasa,” katanya ketika meninjau lokasi kejadian di sini.

Sumbangan tersebut disalurkan melalui Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, masing-masing berjumlah RM50,000.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah bangunan tiga tingkat, dengan kebakaran tertumpu pada sebuah bilik pejabat di tingkat dua. Tiada mangsa dilaporkan terlibat, dan siasatan lanjut masih dijalankan.

TUN JULIA MOHD TAHIR