fb fb fb fb fb

Automasi dipertingkat, penggunaan pekerja asing di ladang menurun

Datuk Seri Johari memaklumkan transformasi automasi membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan.

KUALA LUMPUR, 11 Julai - Penggunaan pekerja asing dalam sektor perladangan negara menurun ketara kepada kurang 300,000 orang, berbanding lebih 500,000 sebelum ini, susulan peningkatan penggunaan automasi dan mekanisasi oleh syarikat-syarikat tempatan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, berdasarkan saiz ladang dan keperluan industri, lebih 750,000 pekerja diperlukan. Namun, angka itu berjaya dikurangkan hasil pelaburan industri dalam teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Kalau dulu kita guna lebih 500,000 pekerja asing, kini kurang daripada 300,000 kerana banyak syarikat dari ladang sawit hingga ke kilang oleokimia sudah mula automasikan proses. Kini pekerja asing hanya digunakan untuk kerja 3D; iaitu ‘dangerous, dirty dan difficult’,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pameran Antarabangsa Mesin Malaysia ke-36 (MIMF 2025) di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini.

Tambah beliau, transformasi automasi juga membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi kepada rakyat tempatan, termasuk ribuan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Industri komoditi menyumbang lebih RM186 bilion nilai eksport negara. Untuk kekal kompetitif di peringkat global, kita perlu tingkatkan produktiviti dan kecekapan,” ujarnya.

Pameran MIMF 2025 menyaksikan penyertaan lebih 750 pempamer dari 10 negara termasuk China, India, Korea Selatan, Jepun, Taiwan dan Jerman, dengan majoriti peserta dari China. Pameran ini penting untuk mendedahkan lebih banyak syarikat kepada inovasi terkini, khususnya industri yang masih bergantung kepada buruh asing.

TUN JULIA MOHD TAHIR