fb fb fb fb fb

Malaysia perkukuh komitmen serantau menerusi penyertaan AELM 2025

Datuk Mohd Zamruni Khalid

GYEONGJU, 29 Oktober - Selepas ASEAN, Malaysia akan meneruskan komitmen terhadap kerjasama serantau di peringkat lebih besar iaitu Asia Pasifik.

Ia menerusi penyertaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) 2025 di Gyeongju, Korea Selatan.

Duta Malaysia ke Republik Korea, Datuk Mohd Zamruni Khalid optimis, kerjasama serantau berupaya memacu pembangunan mampan demi kemakmuran bersama.

"Malaysia sentiasa percaya dengan kepentingan kerjasama serantau. Malaysia adalah anggota beberapa kumpulan serantau termasuk ASEAN, APEC dan kini sedang berusaha untuk menyertai BRICS.

"Malaysia sentiasa menekankan kepentingan perkara ini di semua forum multilateral. Ini merupakan nilai teras yang Malaysia percayai. Malaysia berharap menerusi pembangunan serantau, kita dapat mencapai lebih banyak kejayaan," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.

Beliau juga percaya, penyertaan ke AELM, membuka ruang kepada Malaysia untuk memperkukuh kerjasama dua hala dengan 20 lagi ekonomi APEC.

Bidang strategik antaranya transformasi digital dan teknologi kecerdasan buatan (AI) diberi tumpuan utama.

Ekonomi APEC menyumbang 78.1 peratus atau lebih RM2 trilion daripada jumlah perdagangan Malaysia pada tahun 2023.

Perdana Menteri dijadualkan tiba di Gyeongju pada Kahmis (esok) dan berada di sana hingga Sabtu ini.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI