fb fb fb fb fb

Tawaran pembelian ayam dengan harga RM8.50 sekilogram bermula Ogos ini - Shahidan

PUTRAJAYA, 21 Julai- Warga Putrajaya akan dapat membeli ayam standard pada harga RM8.50 sekilogram, lebih rendah daripada harga siling RM9.40 sekarang, bermula 1 Ogos ini melalui Program Jualan Rakyat MyGrocer@Wilayah di semua pasar awam di Putrajaya.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata bagi menjayakan inisiatif tersebut, sebuah pusat penyembelihan ayam diwujudkan di Presint 20 bagi membolehkan ayam disembelih di Putrajaya.

"Mulai 1 Ogos kita akan menurunkan harga ayam kepada RM8.50, harga yang paling murah. Orang ramai boleh datang ke Putrajaya kerana segala proses jualan termasuk sembelihan akan dilakukan di sini.

Kita ada gudang-gudang yang dikhaskan untuk tujuan tersebut dan belum digunakan lagi," kata Shahidan ditemui pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Soft Launch Floria Diraja Putrajaya 2022, bertempat di Anjung Floria Presint 4, Putrajaya.

Bertemakan ‘Awesome Floria’, edisi ke-12 Festival Bunga dan Taman itu bakal bermula 29 Ogos sehingga 4 September ini, setelah dua tahun tidak dilaksanakan susulan pandemik COVID-19.

Festival tersebut menghimpunkan hampir 10,000 pokok orkid, 400,000 pokok pelbagai spesies, kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan seumpama hamparan bunga-bungaan yang berwarna-warni dalam suasana taman.


(Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim menjelaskan perkara tersebut
kepada media di Putrajaya)

Media Baharu