fb fb fb fb fb

Dewan Rakyat lulus Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022

(Bilangan penerima faedah keseluruhan ialah 678,329 orang
setakat Disember 2021/FOTO HIASAN)


KUALA LUMPUR, 21 Julai- Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2022 bagi menambah baik liputan keselamatan sosial dengan meningkatkan faedah tertentu yang diterima pekerja.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan berkata, pindaan RUU berkenaan adalah wajar untuk memberi perlindungan lebih meluas kepada mereka berpendapatan lebih RM4,000-RM5,000

Saravanan berkata, terdapat 7.78 juta pekerja warganegara dan sejuta pekerja asing berdaftar dengan Perkeso setakat Mei tahun ini.

Menurutnya, sejumlah 19.7 juta warganegara dan 1.94 juta bukan warganegara pekerja berdaftar dalam sistem Perkeso.

Bilangan penerima faedah keseluruhan ialah 678,329 orang setakat Disember 2021.

"Bayaran faedah pula berjumlah RM4.334 bilion setakat 2021. Bagi tahun 2022 setakat Mei, penerima faedah adalah berjumlah 664,265 pekerja dengan bayaran berjumlah RM1.958 bilion.

"Pekerja yang ditimpa kemalangan dalam bulan pertama bekerja layak menerima faedah di bawah Perkeso walaupun belum mencarum. Apabila mereka terima surat tawaran walaupun belum mencarum, mereka masih layak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu di Bag=ngunan Parlimen, di sini.

Terdahulu, Saravanan ketika membahaskan RUU berkenaan untuk bacaan kedua, mencadangkan pindaan had siling gaji, kadar caruman jenis pertama dan kedua, serta faedah hilang upaya dan faedah orang tanggungan.

10 butiran baharu berkaitan amaun caruman baharu pekerja turut dicadangkan.

(Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri M Saravanan ketika memberi ucapan
Pergulungan Perbahasan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen)

"Bagi menjelaskan lagi perkara ini, saya memberikan contoh sekiranya seorang pekerja yang berumur 30 tahun dan bergaji melebihi RM5,000 layak menerima faedah hilang upaya kekal, pengiraan bayaran pukal bagi pekerja itu mengikut siling gaji sedia ada berjumlah RM177,252.30.

"Bagaimanapun, berdasarkan pengiraan siling gaji yang baharu, pekerja akan menerima sejumlah RM222,126.30. Dalam hal ini, terdapat peningkatan sebanyak 25.3 peratus bagi siling gaji baharu berbanding siling gaji sedia ada," katanya.

Jelas beliau, peningkatan tersebut dapat menambah baik perlindungan keselamatan sosial PERKESO dengan meningkatkan faedah-faedah bagi Akta 4, seperti faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, pencen ilat dan pencen penakat.

Sementara itu, pada peringkat perbahasan Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif berkata, ia perlu ditingkatkan dan tidak terhad kepada amaun yang dicadangkan iaitu 5 ribu ringgit sahaja.

"Hal ini kerana ada sebahagiannya bekerja sendiri seperti yang dimaksudkan ramai pembahas tadi menyebutkannya juga supaya ia dapat dinikmati oleh semua lapisan rakyat di seluruh negara tanpa mengira warna kulit fahaman politik dan anutan agama,:" katanya.

Katanya, langkah itu membolehkan manfaatnya dinikmati banyak golongan khasnya yang terkesan akibat pandemik, inflasi dan sebagainya.

Media Baharu