fb fb fb fb fb

Tawar rakyat tempatan sebagai operator judi dalam talian, dua suspek ditahan

SHAH ALAM, 25 Julai- Dua suspek lelaki, seorang warganegara Taiwan dan seorang warganegara tempatan ditangkap Jumaat lalu disyaki terlibat dalam sindiket penipuan yang memperdaya rakyat tempatan menjadi operator pusat panggilan dan judi dalam talian.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam, kedua-dua suspek yang berumur 35 dan 40 tahun ditahan dalam serbuan sebuah rumah teres dua tingkat Taman Setia Impian Kajang kira-kira pukul 6.30 petang.

"Hasil semakan rekod lampau didapati warganegara tempatan mempunyai jenayah lampau di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Siasatan awal mendapati sindiket ini telah mula beroperasi pada awal bulan Jun 2022," kata Datuk Sasikala kepada pemberita RTM dalam satu sidang media, di sini.

Hasil siasatan mendapati suspek warganegara Taiwan berperanan mencari pekerja tempatan untuk bekerja di luar negara dengan menggunakan agen tempatan manakala warga tempatan bertugas sebagai pemandu menghantar pekerja ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mengikut jadual penerbangan yang ditetapkan.

Tambahnya, setiap ejen akan dibayar komisyen sebanyak seribu dolar Amerika Syarikat bagi setiap seorang pekerja.

Sindiket terbabit dipercayai menawarkan kerja di Dubai dan Myanmar serta gaji lumayan dalam bentuk dolar Amerika Syarikat.

Kedua-dua suspek kini direman empat hari dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


(Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sasikala Devi Subramaniam)

Media Baharu