fb fb fb fb fb

Sultan Perak tunai solat hajat, doakan keselamatan aktivis GSF

Sultan Nazrin menunaikan solat hajat di Masjid Negara /FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Masjid Negara untuk menunaikan solat Jumaat dan solat hajat bagi mendoakan keselamatan aktivis yang ditahan Zionis.

Solat hajat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Negara, Ustaz Ehsan Mohd Hosni itu diadakan serentak di masjid dan surau seluruh Wilayah Persekutuan hari ini, selepas solat Jumaat.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na'im Mokhtar, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee dan bekas Presiden Turkiye, Dr. Abdullah Gül.

Semalam, Ketua Pengarah, Sumud Nusantara Command Centre, Datuk Dr. Sani Araby Abdul Alim Araby mengesahkan 23 sukarelawan negara kini ditahan selepas kapal mereka dipintas oleh tentera Israel.

Misi berkenaan bertujuan memecah sekatan Zionis ke atas bumi Gaza, selain menghantar bantuan kemanusiaan mendesak yang diperlukan.

MUHAMMAD 'AZAMUDDIN HUSSAIN