fb fb fb fb fb

Kesedaran patuhi undang-undang rakyat Malaysia masih rendah

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Sebanyak 76,939 notis amaran dikeluarkan sepanjang kempen Advokasi Operasi Pematuhan Undang-Undang (Op PUU) di ibu negara, dari 6 hingga 30 September.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, angka tersebut menunjukkan tahap kesedaran masyarakat untuk mematuhi undang-undang masih berada pada tahap membimbangkan.

Beliau menegaskan pematuhan undang-undang merupakan tanggungjawab bersama yang perlu dipatuhi setiap masa.

Ini selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Rukun Negara.

"Jika tak bermula di sini, bila lagi? Kita pun dalam persiapan untuk menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026. Jadi inilah yang kita nak tunjuk, bahawa etika warga Kuala Lumpur, warga Malaysia dalam keadaan baik. Kita akan menerima sejumlah besar pelancong daripada luar, mereka akan menilai kita melalui sikap dan etika secara keseluruhan," katanya.

Datuk Fadil menjelaskan, fasa advokasi dilaksanakan tanpa mengambil pendekatan menghukum, sebaliknya memberi peluang kepada masyarakat untuk meningkatkan kepatuhan sebelum langkah penguatkuasaan sepenuhnya dijalankan.

Menurutnya, penguatkuasaan telah dijalankan sejak 1 Oktober di kawasan tumpuan sekitar Kuala Lumpur, dan akan diperluas ke seluruh bandar raya secara berterusan.

Operasi berkenaan digerakkan oleh Bahagian Trafik, yang turut melibatkan semua jabatan di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan agensi penguatkuasaan lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau berucap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di ibu negara.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ