fb fb fb fb fb

Dana Plus mudahkan urusan pinjaman usahawan di Selangor

Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor Nilammasri Jaafar ditemui pemberita selepas Majlis 10 Tahun Kecemerlangan Hijrah Selangor : Siri ke-7 Majlis Apresiasi Program Pembangunan Usahawan 2025 di Shah Alam/RTM

SHAH ALAM, 27 Oktober - Aplikasi pembiayaan digital Dana Plus akan diperkenalkan pada awal tahun hadapan bagi mempercepat dan memodenkan urusan pinjaman usahawan di Selangor.

Menurut Ketua Pegawai Perniagaan Yayasan Hijrah Selangor Nilammasri Jaafar, sistem baharu iaitu Digital Loan Management System membolehkan keseluruhan proses pembiayaan dilakukan secara dalam talian bermula daripada pemilihan, pendaftaran, kelulusan, hingga pengeluaran dana kepada pemohon yang layak.

"Kami akan lancarkan insya Allah pada awal tahun hadapan. Semua proses pembiayaan daripada pemilihan sampai kepada pemprosesan dan kelulusan serta saluran pembiayaan kepada semua usahawan yang layak di negeri Selangor. Tempoh pinjaman daripada permohonan sampai pengeluaran dalam masa 48 jam sahaja.

"Digital aplikasi platform ini amat mudah digunakan dan boleh mencapai di seluruh negeri," kata beliau selepas Majlis 10 Tahun Kecemerlangan Hijrah Selangor : Siri ke-7 Majlis Apresiasi Program Pembangunan Usahawan 2025 di Shah Alam.

Pelancaran Dana Plus dijangka menjadi pemangkin kepada ekosistem pembiayaan mikro yang lebih pantas, telus dan inklusif di Selangor, seiring aspirasi negeri pintar menjelang tahun 2026.

Beliau menambah, dalam tempoh 2024 sehingga kini, kadar pembiayaan tidak berbayar (NPL) oleh usahwan berjaya dikekalkan di bawah satu peratus.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ