fb fb fb fb fb

Malaysia tolak penyebaran propaganda Zionis, tindakan tegas akan diambil - Fahmi

Datuk Fahmi Fadzil / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Malaysia menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk penyebaran propaganda Zionis, sama ada melalui akaun palsu atau melibatkan agen-agen dari negara lain.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak terlibat, melalui kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

"Melalui MCMC, kita berada dalam kedudukan yang sangat berwaspada dan pendirian kita jelas untuk menolak sebarang bentuk penyebaran propaganda Zionis.

"Sekiranya terdapat aduan daripada orang awam atau pihak MCMC sendiri mengesan aktiviti sedemikian, tindakan tegas akan diambil," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual penyampai radio swasta melalui panggilan telefon, hari ini.

Datuk Fahmi turut mengingatkan rakyat Malaysia supaya tidak mudah terpedaya dengan kandungan bersifat manipulatif dan bertentangan dengan pendirian negara, khususnya dalam isu-isu antarabangsa dan konflik kemanusiaan.

Beliau menegaskan pentingnya kewaspadaan dalam menilai sesuatu maklumat agar tidak terjebak dalam penyebaran berita palsu atau propaganda yang boleh menjejaskan keamanan dan perpaduan negara.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID