CYBERJAYA, 3 Oktober - 9,712 syarikat pengangkutan awam darat dan barangan melibatkan 20,713 kenderaan telah memohon subsidi menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) sejak ia dibuka pada 15 September lalu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata pengeluaran fleet card kini sedang dijalankan secara berperingkat oleh syarikat minyak pilihan masing-masing.
“Fokus kini adalah untuk mempercepat pengeluaran fleet card kepada syarikat yang telah diluluskan SKPS dan sudah membuat permohonan.
"Namun, sebagaimana dimaklumkan sebelum ini, walaupun masih belum menerima fleet card, syarikat yang mempunyai rekod permohonan tetap layak membuat tuntutan bayaran balik tunai bagi pembelian petrol bersubsidi bermula 30 September hingga 31 Oktober," jelasnya.
Tambah Datuk Armizan, syarikat terlibat perlu membayar pada harga pam tanpa subsidi terlebih dahulu sebelum mengemukakan tuntutan bersama dokumen sokongan.
“Namun mereka boleh memohon tuntutan bayaran balik dan setelah KPDN mengesahkan dokumen serta resit pembelian, Kementerian Kewangan akan memproses pembayaran dalam tempoh 15 hari bekerja dan setiap tuntutan tetap perlu disahkan terlebih dahulu oleh SKPS sebagai pentadbir skim berkenaan," katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kad fleet kepada empat buah syarikat yang berdaftar di sebuah stesen minyak di Cyberjaya.
Datuk Armizan pada masa sama menekankan kepentingan kerjasama erat semua pihak, termasuk kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi mempercepatkan proses pendaftaran syarikat agar pelaksanaan subsidi petrol bersasar dapat dicapai dengan lebih berkesan.