KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Kehadiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN di Malaysia perlu dilihat secara rasional, bukan semata-mata berdasarkan persepsi negatif atau sentimen sempit.
Perkara itu dinyatakan Yang Dipertua, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Datuk Dr. Hasan Bahrom.
Katanya, kehadiran pemimpin kuasa besar dunia itu merupakan pengiktirafan terhadap peranan Malaysia dan ASEAN dalam geopolitik global.
Ini termasuk peluang untuk mengangkat diplomasi dan dakwah ke tahap tertinggi.
"YADIM bagaimanapun mengakui dasar Trump sebelum ini pernah menimbulkan keresahan umat Islam, namun Islam mengajar bahawa menyatakan kebenaran di hadapan pemimpin zalim adalah jihad paling mulia," katanya menerusi satu kenyataan.
YADIM menegaskan kehadiran Presiden AS tidak boleh disamakan dengan pengiktirafan terhadap dasar luar Amerika yang menyokong Israel, sebaliknya peluang untuk menyampaikan pendirian tegas terhadap penindasan rakyat Palestin.
YADIM juga menolak dakwaan bahawa diplomasi bererti tunduk kepada kuasa besar, sebaliknya Malaysia berani bersemuka, menyatakan suara rakyat dan memperkukuh wibawa negara di mata dunia.
Pendekatan itu juga seiring dengan aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menekankan nilai kemanusiaan sejagat, keadilan dan diplomasi berhemah.