SEREMBAN, 3 Oktober - Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengumumkan penubuhan Majlis Pendidikan Negara yang bakal menyelaras dasar pendidikan negara secara menyeluruh.
Penubuhannya itu akan melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai tonggak utama pelaksanaan.
Mesyuarat pertama jawatankuasa itu telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pagi tadi, dengan turut disertai beberapa kementerian lain yang berkaitan.
"Ini pertama kali diadakan, dimana Perdana Menteri telah merasakan bahawa perlu penyelarasan yang lebih besar yang mana beliau sendiri akan mempengerusikan.
"Perdana Menteri juga melihat pendidkan itu sangat penting dalam konteks negara kita, maka beliau akan memepengerusi Majlis Pendidikan Negara", katanya selepas Majlis Sambutan Hari dan Bulan Akademia Peringkat Kebangsaan Tahun 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Dr Aneese Ibrahim dan Naib Canselor USIM, Prof Dato Dr Sharifuddin Md Shaarani.
Tambah Zambry, antara aspek utama yang diberi perhatian termasuk penyelarasan dengan Kementerian Digital berhubung pembangunan kecerdasan buatan (AI) serta rombakan semula mata pelajaran umum di universiti yang kini sedang dirangka oleh dua tokoh akademik, Prof. Osman Bakar dan Prof Syamsul Amri.
Antaranya membabitkan penyelarasan bidang pendidikan yang melibatkan kementerian lain, kandungan dan kurikulum mata pelajaran umum serta pelan pendidikan jangka panjang.