fb fb fb fb fb

Saran tangguh sementara misi ke Gaza, elak ditahan tentera Israel

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al Khadijah Jalan Pantai Sentral 2 di ibu negara/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober- Aktivis kemanusiaan disaran menangguhkan sementara pelayaran ke Gaza bagi mengelak penahanan oleh rejim Israel, seperti dialami sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah menangguhkan sementara pelayaran itu bukan bermaksud menghentikan usaha, sebaliknya bagi memberi ruang menyusun strategi baharu dengan lebih bijaksana.

"Tentunya mereka akan dihalang juga tetapi saya befikir keadaan sekarang ini mungkin kita perlu membuat keputusan bertawakuf, kita berhenti sekejap guna kebijaksanaan, runding semula dan susun semula strategi, terutama perjanjian yang dimeterai. Ini pun satu hal ada orang menegur dengan kaedah ini, tetapi apa yang penting selamatkan nyawa orang." katanya.

Datuk Seri Anwar berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Khadijah, Pantai Dalam.

Beliau menegaskan, tanggungjawab utama ketika ini ialah menyelamatkan rakyat Palestin yang ditindas secara kejam oleh Israel, selain memastikan bantuan kemanusiaan dan makanan sampai kepada mereka.

Media sebelum ini melaporkan, gelombang ketiga flotilla antarabangsa sudah berlepas dari Itali sejak 27 September lalu, membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan, ahli Parlimen serta aktivis kemanusiaan.

Sembilan delegasi Malaysia turut menyertai misi itu, melalui dua kapal berbeza, termasuk Ketua Delegasi, Profesor Emeritus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, tiga doktor perubatan, dua pensyarah, Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE serta seorang wartawan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ