fb fb fb fb fb

Kedutaan AS terima memorandum bantahan penahanan aktivis GSF

Ribuan peserta Himpunan Solidariti Free Sumud Flotilla berhimpun berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 3 Oktober - Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia hari ini menerima memorandum bantahan berhubung penahanan aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) oleh rejim Israel di perairan Gaza.

Memorandum tersebut diserahkan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim dan Pengerusi Biro Hal Ehwal Antarabangsa PKR, Dr Maszlee Malik pada pukul 2.30 petang di hadapan bangunan kedutaan AS di Jalan Tun Razak di sini.

Muhammad Kamil berkata, wakil kedutaan AS menyambut baik tiga tuntutan utama yang dikemukakan, serta memberi jaminan bahawa memorandum itu akan dihantar ke Washington untuk tindakan lanjut.

"Pihak kedutaan memaklumkan bahawa mereka menghormati hak rakyat Malaysia untuk bersuara, berhimpun dan menyatakan pandangan secara aman.

"Mereka juga menyatakan kesediaan untuk membawa isu ini ke perhatian kerajaan mereka," katanya kepada pemberita selepas penyerahan memorandum tersebut.

Memorandum berkenaan mengandungi tiga tuntutan utama iaitu pembebasan segera semua sukarelawan yang ditahan rejim Israel, jaminan keselamatan kepada semua aktivis tidak bersenjata dan penolakan cadangan pembangunan Gaza oleh Washington yang didakwa mengabaikan suara rakyat Palestin sendiri.

Terdahulu, penyerahan memorandum itu dilakukan sempena Himpunan Sumud Flotilla yang berlangsung pada hari kedua, susulan kegagalan pihak kedutaan AS menerima memorandum semalam atas faktor keselamatan.

Himpunan tersebut menyaksikan kehadiran lebih 5,000 peserta yang berkumpul selepas solat Jumaat di bangunan Lembaga Tabung Haji sebelum berarak ke kedutaan AS bagi menyatakan solidariti kepada rakyat Palestin dan aktivis Malaysia yang ditahan.

SITI AISHA MELISA YUHANIZ