KUANTAN, 3 Oktober - Sebanyak 11,639 buah kenderaan pelbagai jenis telah diperiksa dan diambil tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Pahang menerusi Ops Khas Gempur Perdagangan di seluruh negeri ini bermula 1 hingga 30 September lalu
Daripada jumlah itu, sebanyak 3,383 notis saman telah dikeluarkan termasuk tindakan menyita 20 buah lori.
Pengarahnya, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman berkata, operasi ini akan terus dilaksanakan sehingga 31 Disember depan bagi mengesan sebarang kesalahan melibatkan kenderaan perdagangan.
"Bagi saman JPJ P22 ini yang banyak adalah sebanyak 3383 manakala notis arah periksa tidak dikeluarkan saman bawah subseksyen 611 sebanyak 617.
"Namun yang paling banyak adalah 4,000 PG1 kita panggil iaitu notis larangan penggunaan kenderaan yang dia datang dengan saman, manakala sitaan kenderaan melibatkan 20 buah lori disita dan tiada bas tiada teksi", katanya di sini, hari ini.
Antara kesalahan tertinggi yang direkodkan JPJ Negeri Pahang adalah lebih muatan, membawa muatan secara bahaya dan kesalahan teknikal.
"Kesemua kenderaan perdagangan tersebut diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan Kaedah-kaedah di bawahnya serta Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010", katanya.
Tambah beliau, Ops Khas Gempur Perdagangan itu akan memberi tumpuan menyeluruh terhadap pemeriksaan, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan bagi melindungi pengguna dan mengekang risiko kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan, kelancaran dan integriti sistem pengangkutan negara.