fb fb fb fb fb

Literasi kewangan teras kemajuan negara - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluncurkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan Malaysia 2026-2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025 di Sasana Kijang Kuala Lumpur hari ini. Turut hadir Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour (dua, kanan) dan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek (dua, kiri).

KUALA LUMPUR, 3 Oktober – Literasi kewangan perlu dijadikan agenda utama negara bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif, di samping melindungi rakyat daripada risiko penipuan serta amalan pelaburan tidak berhemah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanpa kefahaman kewangan yang mantap, masyarakat berisiko terjebak dengan pelaburan berasaskan spekulasi atau skim penipuan walaupun berpendidikan tinggi.

“Kalau kita mahu melonjakkan ekonomi, kempen besar-besaran mengenai kefahaman kewangan mesti dilakukan. Literasi yang lemah menyebabkan ada yang melihat pasaran saham seperti kasino atau terpedaya dengan skim kewangan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 dan Bulan Literasi Kewangan 2025 di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, hari ini.

Menurut Datuk Seri Anwar, cabaran literasi bukan sahaja dalam aspek kewangan, malah merangkumi ilmu, budaya, sejarah dan pemikiran kritis.

Kedangkalan dalam memahami asas ini menyebabkan masyarakat mudah terperangkap dengan prejudis kaum, agama atau wilayah.

Mengimbau pengalaman negara pada 1990-an, beliau berkata meskipun sistem kewangan ketika itu semakin canggih, tahap penguasaan literasi rakyat masih rendah.

“Dalam kerangka Malaysia MADANI, pendidikan kewangan perlu diperluas agar bukan hanya dinikmati golongan elit, tetapi turut sampai ke kampung, sekolah, masjid dan komuniti,” katanya.

Perdana Menteri turut mencadangkan agar maklumat projek kerajaan seperti kos, tender dan jadual siap dipaparkan secara telus kepada rakyat sebagai sebahagian daripada pendidikan kewangan negara.

“Langkah ini mungkin tidak popular, tetapi ia mampu membina kefahaman, integriti dan kepercayaan rakyat,” katanya.

Dalam ucapannya, Datuk Seri Anwar turut menekankan peranan institusi kewangan untuk turun padang memberi pendidikan kewangan kepada masyarakat.

"Seorang pengurus bank bukan sahaja dilihat sebagai pentadbir dana, tetapi simbol amanah, integriti dan ilmu yang wajar dijadikan teladan oleh generasi muda.

Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri menzahirkan keyakinan bahawa dengan kerjasama erat semua pihak, Malaysia mampu melaksanakan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 dengan berkesan.

“Kita tidak ada pilihan selain bekerja keras dan memastikan tiada masyarakat yang tersisih. Dengan sumber serta kepakaran yang ada, saya yakin Malaysia mampu melangkah lebih jauh.

“Celik kewangan bermakna juga celik ekonomi, celik sejarah dan celik realiti kehidupan. Tanpa pengetahuan, masyarakat mudah terdedah kepada kedangkalan yang membawa perpecahan kaum, agama dan ekonomi,” katanya.

Beliau turut menekankan agar literasi kewangan tidak hanya dikuasai golongan elit, sebaliknya diperluas ke seluruh lapisan masyarakat termasuk luar bandar dan golongan B40, dengan penglibatan institusi kewangan mendekati sekolah, masjid dan komuniti.

Majlis turut menyaksikan ucapan alu-aluan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, sesi peluncuran strategi, bergambar serta pelepasan Bas FEN Jelajah Skuad Celik Kewangan.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID