fb fb fb fb fb

PM hargai peranan Trump jayakan KL Accord dan Pelan Damai Gaza

Pertemuan singkat penuh bermakna antara Presiden AS Donald Trump dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini/Foto Facebook PMO

KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai peranan Presiden Amerika Syarikat, Donald J. Trump dalam menjayakan Perjanjian Damai Kuala Lumpur (KL Accord) dan Pelan Damai Gaza, yang disifatkan sebagai sinar harapan ke arah keamanan yang adil dan berkekalan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan singkat dengan Trump pagi ini, sebelum Presiden Amerika Syarikat itu berlepas ke Tokyo, Jepun.

"Pertemuan ini memberi ruang untuk meneliti semula hasil perbincangan dua hala Malaysia–Amerika Syarikat yang telah dijalankan sebelum ini, termasuk kerjasama strategik dalam bidang perdagangan, teknologi, dan keamanan serantau," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi ASEAN berkata Malaysia dan Amerika Syarikat tekad memperkukuh hubungan dua hala kedua-dua negara.

"Malaysia dan Amerika Syarikat bertekad untuk terus memperkukuh hubungan dua hala berasaskan saling hormat, kepentingan bersama, dan semangat memperjuangkan keamanan sejagat," tambah beliau.

Donald Trump tiba di Malaysia semalam untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara.

Kehadiran Trump merupakan lawatan pertama beliau ke negara ini dalam tempoh sedekad.

GRACE AISYAH KEDAYAN