KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Kementerian Pengangkutan (MOT) komited memperkasa ekosistem pengangkutan awam negara dengan pendekatan lebih menyeluruh melibatkan kerjasama antara agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Menterinya, Anthony Loke berkata, pelaksanaan inisiatif berkenaan perlu disokong oleh semua pihak termasuk PBT bagi memastikan kemudahan asas seperti perhentian bas dapat disediakan secara lebih meluas dan efisien.
“Kita (MOT) ada kekangan dari segi peruntukan dan sumber seperti perhentian bas umpamanya. Ia memerlukan kerjasama PBT. Kalau ada PBT seperti majlis bandaraya boleh sediakan tapak dan peruntukan perhentian bas, ia sangat membantu,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Menurut beliau, MOT turut menggalakkan model kerjasama dengan pihak swasta dalam pembinaan perhentian bas sebagai langkah memperluas capaian kemudahan kepada orang ramai.
“Perhentian bas tidak semestinya dibina oleh kerajaan atau PBT sahaja. MOT sedang merangka satu program supaya syarikat-syarikat swasta boleh ‘adopt’ perhentian bas ini,” katanya sambil menambah syarikat yang terlibat akan diberikan hak untuk memaparkan iklan mereka di lokasi berkenaan.
Anthony berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, berhubung langkah kementerian memastikan lebih banyak perhentian bas dibina bagi meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam di seluruh negara.