KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Malaysia dan Australia komited memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian, halal dan keselamatan makanan sebagai usaha perluas hubungan strategik dua hala.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Australia memainkan peranan penting dalam operasi halal dan bekalan pertanian ke Malaysia, justeru langkah memudahkan proses kerjasama itu menjadi keutamaan.
"Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam dan Jabatan Pertanian, Perhutanan ada di sini, dan operasi Halal. Kami ada import, jadi kami harus memudahkan proses itu," kata beliau ketika sidang media bersama selepas Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia-Australia ke-3 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Beliau turut mengiktiraf kejayaan sektor pertanian Australia dan menekankan kepentingan pemindahan kepakaran serta teknologi bagi memperkukuh kemampuan Malaysia dalam sektor tersebut.
Perdana Menteri menyatakan keyakinan bahawa kerjasama ini akan membuka peluang kepada pembangunan sistem pertanian lebih efisien, meningkatkan produktiviti, dan menyokong keperluan makanan negara.