KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man mencadangkan adaptasi amalan perguruan terbaik dari negara membangun antara langkah proaktif dalam memperkukuh profesion guru sekaligus menghentikan insiden buruk di sekolah.
Katanya, ia juga dapat menangani isu disiplin pelajar yang semakin membimbangkan selain pemerkasaannya perlu disegerakan.
"Guru perlu diyakini sebagai pendidik dan pembimbing utama. PIBG pula harus menjadi jambatan kerjasama yang saling memahami antara pihak sekolah dan ibu bapa,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar setiap dasar baharu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dinilai bukan hanya dari segi kewangan dan undang-undang, tetapi juga beban pelaksanaan terhadap guru.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di Dewan Rakyat hari ini.
“Kerja pentadbiran yang tidak berkaitan dengan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) perlu dikurangkan, segala proses wajar didigitalkan, dan duplikasi pelaporan mesti dimansuhkan,” ujarnya.
Cadangan lain termasuk reformasi sistem aduan pendidikan, di mana setiap aduan terhadap guru atau sekolah perlu ditapis terlebih dahulu oleh golongan profesional di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) sebelum tindakan diambil.
Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh pula menekankan bahawa pengaruh media sosial menjadi faktor utama dalam kes-kes keganasan di sekolah.
"Perlu diperketat atau dikawal selia garis panduan, contohnya larangan ke atas laman web pornografi yang walaupun telah diharamkan, masih ramai yang dapat mengaksesnya," katanya.