fb fb fb fb fb

Krisis Gaza dibangkitkan berulang kali, termasuk dalam 'The Beast' - PM

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menjemput Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menaiki kenderaan rasminya yang dikenali sebagai ‘The Beast’, pada Ahad lepas/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Isu utama melibatkan hubungan dua hala, Gaza, serta kadar tarif menjadi topik perbualan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump semasa perjalanan dari KLIA ke KLCC sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, pada Ahad lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Presiden Trump sebagai seorang pendengar yang baik dan memberi penuh perhatian terhadap perbincangan berkenaan.

"Kami juga berbincang tentang Gaza, beliau maklum saya pernah bertemu pemimpin Hamas semasa di Doha. Saya menegaskan sokongan kepada inisiatif keamanan yang dicadangkan oleh jiran Arab. Ada taktik yang gagal, seorang antaranya dibunuh oleh Israel. Saya katakan sokongan saya harus memastikan keamanan yang mampan, adil dan komprehensif. Beliau menjawab bahawa ini fasa pertama dan mereka sedang bekerja keras, beliau juga menegaskan keseriusan usaha itu," kata beliau pada sidang media pada hari terakhir Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, di sini hari ini.

Dalam masa sama, beliau turut menyentuh mengenai kadar tarif yang dikenakan dalam kadar 19 peratus, namun dimaklumkan Malaysia telah menikmati kadar sifar tarif kepada eksport semikonduktor Malaysia.

Jelas Perdana Menteri, perbualan sulit antara pemimpin wajar dihormati bagi memastikan komunikasi terbuka dapat diteruskan.

Pada Ahad lepas, Trump menjemput Datuk Seri Anwar menaiki kenderaan rasminya yang dikenali sebagai ‘The Beast’.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN