KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Malaysia dan Australia bersepakat mengukuhkan lagi hubungan pendidikan dua hala melalui komitmen bersama dalam memperluas akses pendidikan tinggi, penyelidikan dan pembangunan bakat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, ia sejajar dengan status Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.
Beliau berkata, keputusan Universiti Monash untuk terus berkembang di Malaysia dengan berpangkalan di Tun Razak Exchange (TRX) menjadi bukti keyakinan Australia terhadap potensi Malaysia dalam sektor pendidikan global.
“Keputusan oleh Monash University untuk beroperasi dari TRX, kawasan yang sangat berprestij, adalah sesuatu yang sangat mengagumkan.
“Ia menandakan komitmen jelas di pihak Australia untuk mengambil Malaysia dengan sangat serius", katanya dalam sidang media bersama selepas Mesyuarat Tahunan Pemimpin Malaysia-Australia ke-3 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, Malaysia turut mengalu-alukan pelaburan dalam bidang penyelidikan dan latihan kejuruteraan yang ditawarkan melalui kerjasama institusi Australia di negara ini.
Perdana Menteri berkata, melalui kerjasama ini, Malaysia yakin mampu melahirkan generasi berkemahiran tinggi yang berdaya saing di peringkat global, di samping memperkukuh kedudukannya sebagai pintu masuk pendidikan antarabangsa di rantau Asia.