KUCHING, 13 November- Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, KPWKM akan meminda beberapa akta dalam perancangan menjelang 2024.
Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri, memberitahu, antara fokus utamanya bagi tahun depan adalah industri penjagaan atau care industry yang meliputi fokus kepada penjagaan kanak-kanak, warga emas dan golongan orang kurang upaya, OKU.
Katanya pindaan tersebut membolehkan KPWKM melengkapi persiapan Malaysia di ambang negara menua, OKU mempunyai akses penjagaan yang diperlukan serta dapat memastikan kanak-kanak mendapat jagaan dan asuhan terbaik.
Dari segi keselamatan kanak-kanak pula katanya KPWKM akan merangka beberapa strategi untuk mengurangkan isu-isu berkaitan keselamatan dan kesejahteraan kanak-kanak.
Antaranya untuk memperketatkan lagi Akta Kanak-Kanak dan SOP berkaitan taska termasuk mengemas kini prosedur operasi standard, SOP taska, supaya dikehendaki menghubungi ibu bapa sekiranya anak mereka tidak hadir pada hari tersebut.
Ini dapat membantu mengelakkan insiden meninggalkan anak dalam kereta serta membantu ibu bapa mengetahui
keberadaan anak mereka.
Manakala bagi kaum wanita, KPWKM berazam memperkasa dan memperluaskan peluang mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita kepada 60 peratus dalam tempoh kurang 10 tahun dari sekarang.
Datuk Seri Nancy berkata demikian dalam ucapannya di Majlis Malam Media anjurannya di Kuching malam tadi.
Lebih seratus pengamal media cetak dan elektronik menghadiri majlis tersebut yang dianjurkan bagi menghargai sumbangan media dalam membantu menyebarluas maklumat berkaitan kementerian dan kawasan Parlimen Santubong.