fb fb fb fb fb

MADA mahu isu kekurangan bekalan benih padi ditangani segera

Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh

PENDANG, 13 November- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda, MADA, menggesa pihak bertanggungjawab menyelesaikan isu kekurangan bekalan benih padi sah dengan segera.
 
Isu berkenaan menyebabkan aktiviti penanaman padi bagi musim 2/2023 di kawasan Muda terjejas dan mengalami kelewatan.
 
Pengerusi MADA, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, mengikut Jadual Penanaman Padi musim 2/2023 yang telah ditetapkan oleh MADA, tarikh akhir menabur bagi Fasa I adalah 11 November.
           
Manakala bagi Fasa dua, tarikh akhir menabur adalah 21 November dan tarikh akhir menabur bagi fasa tiga pada 1 Disember.
 
Bagaimanapun ketika ini, hanya 23 peratus kawasan sawah padi telah ditanam, manakala kira-kira 22 peratus lagi telah menerima bekalan benih padi sah tetapi belum ditanam.
 
Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding jadual sepatutnya iaitu 60 peratus kawasan telah ditanam padi pada waktu ini.
 
"Kalau betul-betul kita ikut jadual tanaman padi di kawasan MADA dan kawasan luar MADA selalunya dia mengikut apa yang berlaku di kawasan MADA, sepatutnya telah sampai 60 peratus lebih ataupun menghampiri 70 peratus tetapi tanaman sebenar pada hari ini adalah sekitar 23 peratus dan antara isu utama adalah apabila bekalan benih padi sah itu tidak sampai pada waktunya.

"Jadi sekali lagi saya mengingatkan pihak tertentu untuk memastikan bahawa halatuju negara, halatuju kementerian itu untuk keterjaminan bermula dengan keterjaminan benih,"katanya.
 
Beliau bercakap kepada RTM selepas merasmikan Karnival Sukan Rakyat Jom Turun Bendang di Kampung Alor Ali, Pendang, Kedah.
 
Jelas Datuk Dr Ismail, kekurangan bekalan benih padi sah menyebabkan sesetengah pesawah bercadang untuk tidak mengusahakan tanaman padi bagi musim akan datang.
 
Sekiranya perkara itu berlaku, ia akan menjejaskan penghasilan padi dan beras negara.
 
Kawasan Muda merupakan pengeluar padi terbesar negara dengan keluasan pasel padi mencapai 100,641 hektar.
 
Rekod purata lima tahun terkini iaitu sejak 2017 hingga 2021 menunjukkan pengeluaran padi Kawasan Muda telah menyumbang di antara 39 hingga 43 peratus padi setahun kepada negara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE