fb fb fb fb fb

Tarikh PRU15: Belum ada perbincangan dengan 'Top Five' UMNO - PM

(FOTO BERNAMA)

BERA, 11 September - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan sebelum hujung tahun ini.

Bagaimanapun katanya, perbincangan bersama ‘Top Five’ masih belum diadakan bagi menentukan tarikh pembubaran Parlimen.

'Top Five' UMNO merujuk kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden iaitu Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan perdana menteri sendiri.

Katanya, selepas berbincang dengan 'Top Five', beliau akan berbincang dengan parti MCA dan MIC serta parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

(Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob / FOTO BERNAMA)

"Kemudian ia perlu dibawa ke Kabinet sebab di bawah Perlembagaan, kena ada kelulusan Kabinet sebelum saya menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mendapat perkenan membubarkan Parlimen. Itu prosedur yang perlu dipatuhi," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaikan Peruntukan Masyarakat Cina dan India Parlimen Bera 2022 di Dewan Kompleks UMNO Bera di Padang Luas, di sini.

Tambah Ismail Sabri, bagi Parlimen Bera, beliau mahu jentera BN bekerja keras bagi mengekalkan kemenangan BN di Parlimen Bera, DUN Guai dan DUN Kemayan, selain merampas kembali DUN Triang yang dianggap kerusi selesa DAP.

"Saya harap pastikan di Parlimen Bera kita menang bukan dengan 2,000 majoriti tetapi 5,000 atau 10,000 majoriti. Kita kena menang dengan bergaya, kena menang besar kerana seluruh Malaysia pandang kerusi Parlimen Bera.

"Saya percaya MCA mahu memberikan sumbangan kerusi kepada kerajaan Pahang dan sebab itulah saya harap semua jentera MCA, MIC, UMNO mesti bersedia ke arah pilihan raya dan kita pastikan kali ini kita rampas kerusi Triang daripada mereka," katanya.

Media Baharu