fb fb fb fb fb

PRK DUN Air Kuning, BN dijangka bertanding

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menziarahi keluarga Allahyarham Ishsam Shaharudin di Desa Seri Ampang, Ipoh

IPOH, 25 Februari- Parti Barisan Nasional (BN) dijangka bertanding dan mempertahankan Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.
 
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia berdasarkan perjanjian dan kesepakatan yang dicapai sebelum ini bersama parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.

"Parti yang memegang kerusi akan diberikan semula untuk peluang bertanding. Itu persefahaman yang ada pada kita... terlalu awal untuk kita bercakap tentang pilihan raya kecil ini kerana allahyarham baru tiga hari meninggalkan kita. Jadi dari segi gerak kerja, saya serahkan kepada Menteri Besar dan Jawatankuasa BN Negeri serta Perhubungan UMNO Negeri untuk menentukannya", katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika menziarahi balu Allahyarham Ishsam Shaharudin dan keluarganya di Desa Seri Ampang, Ipoh.
 
Kerusi DUN Ayer Kuning kosong selepas penyandangnya meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang, Sabtu lalu akibat serangan jantung.
 
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), BN menang DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 menewaskan empat calon lain.



ROSLINA BINTI DIN