KUALA LUMPUR, 25 Februari- Sebarang kandungan yang berbahaya atau mengandungi unsur eksploitasi terhadap kanak-kanak perlu dihentikan kerana boleh menyebabkan trauma jangka panjang kepada mereka, kata Ketua Pegawai Eksekutif Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia, Mediha Mahmood.
"Walaupun niat asalnya adalah untuk memaklumkan, pendedahan sebegini sebenarnya menimbulkan kesan buruk yang mendalam terhadap mangsa.
"Ia juga boleh membawa risiko pelanggaran Akta Kanak-Kanak 2001 dan Kod Kandungan 2022.
"Lihat sahaja komen-komen di bawah laporan atau media sosial tersebut, ada yang mengecam mangsa, ada yang mempersoalkan reaksi beliau, dan ada juga yang mengkritik keluarga ini.
"Perkara-perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan sebenarnya boleh dielakkan sekiranya kita mempunyai laporan yang lebih bertanggungjawab," katanya kepada RTM.
Beliau turut menegaskan bahawa laporan berkaitan jenayah dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) perlu berlandaskan fakta tanpa menyebarkan stereotaip yang boleh memudaratkan golongan tersebut.
Tambahnya, pemilik media sosial serta pengamal media perlu lebih bertanggungjawab dalam berkongsi sebarang kandungan berkaitan jenayah bagi menghormati mangsa yang terlibat.
Terdahulu, tular rakaman kamera litar tertutup yang memaparkan kes serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak di sebuah masjid di Selangor.
Rakaman tersebut turut menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.