fb fb fb fb fb

Malaysia guna pakai undang-undang seragam UNCITRAL perkukuh rangka kerja kebankrapan

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Februari- Penggunaan Undang-Undang Seragam (Model Law) mengenai Insolvensi Rentas Sempadan Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) di Malaysia, menandakan langkah penting dalam menyelaraskan rangka kerja kebankrapan negara dengan amalan terbaik global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata inisiatif itu akan menyediakan proses yang jelas, boleh dijangka dan adil dalam mengendalikan kes kebankrapan melibatkan pelbagai bidang kuasa.

"Malaysia menerima pakai Undang-Undang Seragam (Model Law) mengenai Insolvensi Rentas Sempadan Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL). Ini merupakan langkah besar, ke arah itu akan meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam amalan terbaik global dalam bidang ini.

"Lebih-lebih lagi dengan menyesuaikan undang-undang moden ini, kita bukan sahaja akan memastikan perlindungan pemiutang dan pihak berkepentingan, tetapi kita juga memupuk persekitaran yang memberi inspirasi kepada keyakinan memudahkan perdagangan antarabangsa yang lancar dan menarik", katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Persidangan Insolvensi Rentas Sempadan Malaysia 2025 di ibu negara.

Datuk Seri Azalina berkata penerimaan Undang-Undang Seragam UNCITRAL mencerminkan komitmen Malaysia terhadap inovasi undang-undang dan tadbir urus ekonomi sekali gus membentuk landskap ekonomi dan perundangan negara untuk masa hadapan.

ROSLINA BINTI DIN