HANOI, 25 Februari- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di sini hari ini, sempena Forum Masa Depan Asean (AFF) 2025 edisi kedua atas jemputan rakan sejawatnya, Pham Minh Chinh.
Pesawat khas membawa Perdana Menteri selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai di sini pada pukul 7.10 malam waktu tempatan (8.10 malam waktu Malaysia).
Beliau disambut Timbalan Menteri Luar Vietnam, Ngo Le Van; Duta Vietnam ke Malaysia, serta Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Tan Yang Thai.
Anwar diiringi Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Seri R. Ramanan; Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid; Ahli Parlimen Sri Gading Aminolhuda Hassan, serta Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.
Ini adalah lawatan kedua Anwar ke Vietnam sejak menyandang jawatan Perdana Menteri, selepas lawatan rasmi pertamanya pada Julai 2023.
Beliau akan mengadakan beberapa pertemuan penting dengan pemimpin Vietnam dan Timor-Leste.
Sebagai agenda pertama lawatan kerja ini, Perdana Menteri mengadakan kunjungan hormat ke atas Setiausaha Agung Parti Komunis Vietnam, To Lam di Ibu Pejabat Pusat Parti Komunis Vietnam sebelum meneruskan pertemuan dengan Presiden Timor-Leste di sebuah hotel di sini pada pukul 10.00 malam waktu Malaysia.
Beliau turut menghadiri mesyuarat pramajlis malam nanti sebagai persediaan menjelang sesi utama Forum Masa Depan ASEAN keesokan harinya.
Kemuncak lawatan Perdana Menteri dijadual esok dalam menyampaikan ucaptama Forum Masa Depan ASEAN 2025 pada sebelah waktu pagi.
Forum itu merupakan platform perbincangan inklusif dan dialog dalam kalangan para Pemimpin ASEAN, pembuat dasar, pakar-pakar, badan pemikir, peneraju perniagaan serta pihak berkepentingan berkenaan hala tuju dan masa depan ASEAN ke arah komuniti yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya saing.
Lawatan tersebut mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan negara-negara ASEAN selaras dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” di bawah Kepengerusian Malaysia.
Lawatan berkenaan juga dapat memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan Vietnam, di samping memperluas kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.