ALOR SETAR, 3 Januari - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff serta anakanda, Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah berkenan berangkat menyantuni para peniaga dan pengunjung di Lorong Sempit dan Lorong Pekan.
Titah Tengku Sarafudin Badlishah, usaha menghidupkan semula Lorong Sempit merupakan inisiatif strategik pihak berkuasa tempatan dalam mentransformasikan ruang terbiar kepada kawasan yang lebih selamat, bersih dan berfungsi.
Langkah itu juga bertujuan mengurangkan risiko jenayah serta mewujudkan persekitaran bandar yang lebih teratur dan berdaya huni.
"Saya rasa ini adalah satu usaha yang baik daripada pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) yang mana kita memperelokkan Lorong Sempit dengan 'star walk'.
"Kita boleh nampak dan menarik ramai pengunjung datang sini. Banyak aktiviti perniagaan dan menunjukkan bakat masing-masing. Ini adalah satu warisan kita, kita patut pelihara dan jagalah jadi satu tarikan dalam 'Experience Kedah' dan 'Visit Malaysia Year' tahun ini. Terima kasih kepada MBAS yang menaiktarafkan Lorong Sempit ini," titah baginda.
Selain menjalankan aktiviti jual beli pelbagai jenis makanan dan minuman, barangan kraf, produk tempatan serta hasil kreatif usahawan kecil, Lorong Sempit itu berfungsi sebagai ruang pertemuan komuniti, tempat masyarakat setempat dan pengunjung luar berkumpul
Inisiatif terbabit berperanan memperindah landskap bandar melalui elemen pencahayaan, seni dan kebersihan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi setempat serta mengalakkan interaksi dalam kalangan komuniti dan meluangkan masa bersama keluarga serta rakan-rakan.
Sepanjang lawatan, Tengku Sarafudin Badlishah berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama pengunjung dan pengusaha, sekali gus menyantuni masyarakat setempat dalam suasana santai dan harmoni.
Keberangkatan baginda dan keluarga turut mencerminkan keprihatinan institusi diraja terhadap pembangunan komuniti setempat dan aktiviti ekonomi rakyat, sekali gus mengukuhkan hubungan erat antara Raja dan masyarakat di peringkat akar umbi.
