KUCHING, 3 Januari - Penduduk terjejas banjir di Sarawak kekal 1,343 orang daripada 342 keluarga, setakat pukul 12.00 tengah hari tadi.
Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, kesemua penduduk berkenaan berlindung di 11 pusat pemindahan sementara (PPS) di Kuching, Samarahan dan Lawas.
"Kuching masih menjadi kawasan paling terjejas banjir, membabitkan 1,124 penduduk daripada 284 keluarga di lapan PPS.
"Ini diikuti Lawas dengan 193 orang daripada 50 keluarga di dua PPS, serta 26 orang daripada lapan keluarga di sebuah PPS di Samarahan," menurut kenyataan itu.
