fb fb fb fb fb

Pewujudan jawatan baharu, KKM sedia sokong cadangan pindaan akta

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Februari- Kementerian Kesihatan (KKM) bersedia menyokong cadangan untuk meminda akta sedia ada berkaitan perjawatan yang membabitkan petugas kesihatan, memandangkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kesihatan tidak mempunyai kuasa untuk mewujudkan jawatan baharu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peranan itu berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan seperti dijelaskan dalam akta serta peraturan kewangan yang berkuat kuasa.

"Fungsi suruhanjaya itu seperti dijelaskan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak memberikan peranan untuk mewujudkan jawatan baharu… tujuan utama kita menubuhkan suruhanjaya itu masih lagi di luar punca kuasa suruhanjaya, itu yang menjadi satu cabaran yang terpaksa didepani

“… inilah (Dewan Rakyat) tempat menggubal dan meminda akta supaya selari keperluan semasa, kalau ada kekangan sedemikian, saya yakin bermula daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan boleh mengemukakan dan memajukan hal ini.

“Saya berpandangan ini adalah proses demokrasi melalui cabang legislatif yang harus digunakan, sekiranya saya terkekang dalam hal ini (perjawatan dan sistem saraan petugas kesihatan)," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KKM di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata justeru, KKM menerusi inisiatif Rakan KKM dilaksanakan sebagai pendekatan bersifat memperbaiki amalan dalam sayap swasta iaitu Skim Perkhidmatan Pesakit Bayar Penuh (FPP).

Dr Dzulkefly berkata pendekatan itu dapat meningkatkan perjawatan dan menambah kadar upah petugas kesihatan selain memberikan peluang kepada KKM mengekalkan pakar dan doktor daripada berpindah ke sektor swasta mahupun luar negara.

"Jika saya ada sedikit sebanyak punca kuasa memperbaiki hal mengenai fasiliti kesihatan awam dengan hasil yang kita ada, ia akan memperbaiki hal berkaitan sekali gus memberi cabaran kepada pihak swasta melalui tanda aras persaingan dan harga.

"Ini juga membolehkan mereka (sektor swasta) tidak mengenakan caj tinggi kerana kita mampu mengemukakan fasiliti (kesihatan) mampu milik kepada pelanggan," katanya.

Mengenai isu perpindahan petugas kesihatan, beliau berkata seramai 6,919 petugas kesihatan di bawah KKM direkod meletak jawatan dan beralih ke sektor swasta antara 2020 hingga tahun lalu.

Beliau berkata ia membabitkan 1,856 pegawai perubatan tetap, diikuti 3,846 pegawai perubatan kontrak serta 1,217 pakar perubatan dan keadaan itu berpunca tawaran manfaat lebih besar dari sektor swasta.

Sementara itu, KKM menyasarkan 3,200 pegawai perubatan kontrak akan diserap ke perjawatan tetap tahun ini sebagai tambahan kepada lantikan tetap 13,349 pegawai perubatan kontrak yang dilakukan antara 2020 hingga 2024.

Dr Dzulkefly berkata KKM melatih 4,776 pakar perubatan bagi tempoh sama selain 900 pakar dijangka ditempatkan di fasiliti kesihatan yang memerlukan.

"Seramai 6,211 pegawai perubatan juga sedang mengikuti latihan kepakaran KKM meliputi 5,519 pegawai dalam program Sarjana Perubatan manakala program Parallel Pathway membabitkan 692 orang hingga 31 Januari lalu.

"KKM secara berterusan melaksanakan penempatan pegawai perubatan dan pakar perubatan ke kawasan memerlukan, terutama di Sabah dan Sarawak, sekali gus dapat menangani isu ketidakseimbangan agihan, terutama di luar bandar Sabah dan Sarawak," katanya.- BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM