(Datuk Seri Azlan ditemui media di Kangar)
KANGAR, 11 Oktober- Tarikh cadangan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) akan dipersembahkan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam masa terdekat.
Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata pihaknya akan mengesyorkan agar pilihan raya negeri dapat dijalankan bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15.
Beliau bagaimanapun tidak memaklumkan tarikh yang akan dicadangkan untuk pembubaran DUN.
"Saya akan mempersembahkan kepada DYMM Tuanku Raja, tarikh yang bersesuaian untuk dibuat pembubaran Dewan Undangan Negeri supaya kita dapat mengadakan pilihan raya negeri bersekali dengan pilihan raya umum di peringkat persekutuan dalam masa yang terdekat, insya-Allah," katanya
Beliau juga mengesahkan sidang DUN Perlis yang dijadual Khamis ini akan diteruskan.
Menurutnya ia penting bagi membahaskan pindaan Undang-undang Tubuh Negeri Perlis iaitu Enakmen Antilompat Parti agar bersesuaian dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan.
(Datuk Seri Azlan pihaknya akan mengesyorkan agar pilihan raya negeri dapat dijalankan
bersekali dengan Pilihan Raya Umum ke-15)