fb fb fb fb fb

LLM nafi caj tol kepada penunggang motosikal

Tiada perubahan kategori kenderaan dikenakan tol - LLM

KAJANG, 10 Ogos - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menafikan hantaran tular mengenai caj tol kepada penunggang motosikal yang didakwa akan berkuat kuasa pada Oktober ini.

LLM menerusi kenyataan rasmi berkata hantaran mengelirukan terbabit dimuat naik pemilik akaun 'ebidmotor' di beberapa platform media sosial.

Sebaliknya, tiada perubahan terhadap kategori kenderaan yang dikenakan tol ketika ini termasuk penunggang motosikal.

LLM menegaskan hantaran yang dimuat naik tidak tepat dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan pengguna lebuh raya selain menjejaskan reputasi kerajaan serta syarikat konsesi lebuh raya yang terlibat.

Kenyataan sama turut menjelaskan, PLUS Malaysia Berhad ketika ini sedang menjalankan ujian sistem tol terbuka menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Plat Automatik (ANPR).

Pelaksanaannya akan dibuat secara berperingkat di lebuh raya kendalian PLUS jika ujian berjaya.

Tujuan utama pelaksanaan sistem ANPR adalah untuk melancarkan aliran trafik, meningkatkan keselesaan pengguna, dan mengurangkan kesesakan di plaza tol.

LLM menyarankan orang ramai untuk mendapatkan maklumat sahih hanya menerusi sumber rasmi dan kenyataan yang disahkan pihak berkuasa.

Masyarakat dinasihatkan agar tidak mempercayai mahupun menyebarkan maklumat palsu yang boleh mencetuskan kegusaran dalam kalangan pengguna.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK