KUALA LUMPUR, 10 Ogos - Seni sulaman intuitif dilihat sebagai medium terapi untuk mengekspresikan emosi secara bebas selain memberi ruang kepada peserta untuk menumpukan perhatian dan menenangkan fikiran.
Justeru bengkel anjuran Balai Seni Negara bertemakan 'Back to Self' oleh artis kontemporari Daisy Ooi bersempena dengan pameran 'Through the Veils of Threefold' memberi peluang kepada peserta untuk mendalami seni sulaman intuitif.
Menurut Daisy Ooi, peserta berpeluang meluahkan sulaman mengikut gerak hati dan secara bebas menghasilkan karya tersebut.
"Sulaman ini selalunya dilakukan mengikut corak dan tempat. Tetapi pendekatan kali inni sedikit berbeza, kerana ia dihasilkan tidak mengikut corak tetapi mengikut hati.
"Karya yang dihasilkan tidak semestinya lurus dan kaku, ia boleh jadi melengkung atau bulat. Ini pastinya memberikan rasa berbeza kepada peserta," katanya.
Tambah Daisy, teknik sulaman yang diketengahkan itu tidak sama seperti sulaman tradisional.
Teknik sulaman itu berkait rapat dengan spiritual, falsafah dan psikologi malah ia berperanan sebagai terapi kepada peserta untuk mengurangkan tekanan.
"Inspirasi saya tiga serangkai — keseimbangan minda, hati, dan tindakan. Sulaman menggabungkan ketiga-tiganya, membantu mengatur emosi dan memberi kesan meditasi," katanya lagi.
Bagi peserta Chow Hui Hoon, ia membuka teknik sulaman berbeza daripada kebiasaan.
"Saya sangat berterima kasih kepada Balai Seni Negara kerana sentiasa mengadakan bengkel seperti ini. Jadi kami yang suka seni tetapi tidak mempunyai kemahiran yang sebenarnya boleh belajar sedikit dan boleh meningkatkan kemahiran," katanya.
Sementara itu Sumayyah Mohd Asri pula berpendapat, setiap karya yang dihasilkan mempunyai makna tersendiri.
"Saya tengok setiap karya yang dihasilkan memang berbeza-beza, namun untuk menyiapkannya akan mengambil masa. Ia tidak mudah," katanya.
"INi adalah peluang hebat untuk turut serta mempelajari seni ini. Saya sangat bersyukur dapat melakukannya dan berbangga kerana individu yang tiada latar belakang dalam seni ini mampu untuk turut serta.
"Mereka berani untuk sama-sama belajar dan memahami seni ini. Bukan mudah untuk melakukan sesuatu berkaitan dengan seni, selalunya ia disokong dengan minat mendalam," katanya.
Pengunjung boleh menghayati pameran 'Through the Veils of Threefold' oleh Daisy Ooi di Balai Seni Negara sehingga 15 Ogos ini.